KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tmenyumbang sejumlah USD100,000 atau RM418,940 bagi tujuan pembangunan semula Gaza, Palestin pasca perang 2021 oleh rejim Israel.
Timbalan Menteri Luar Menteri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, sumbangan kewangan itu merangkumi USD50,000 kepada Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Awqaf Jordan pada Ogos lalu dan USD60,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PCRS) pada Jun lepas.
Jelasnya, sumbangan kepada PCRS adalah daripada kementeriannya sebanyak USD30,000 dan USD30,000 lagi daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS).
“Kerajaan percaya sumbangan ini melengkapkan usaha bantuan kemanusiaan sedia ada Malaysia kepada Palestin sama ada melalui platform dua hala, pelbagai hala dan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa termasuk negara-negara anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC) bagi mengukuhkan komitmen bersama untuk membangunkan semula Gaza.
Dalam pada itu, kata Kamaruddin, kerajaan sedang dalam proses terakhir menubuhkan Unit Hal Ehwal Palestin di kedutaan besar Malaysia di Amman, Jordan yang akan melaksanakan aktiviti-aktiviti pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Palestin.
Jelasnya, pejabat tersebut akan dibantu oleh Konsul Kehormat Malaysia pertama yang telah pun dilantik di Ramallah, Palestin dan proses lantikan jawatan sama di Gaza akan diselesaikan tidak lama lagi.
“Malaysia giat bekerjasama dengan negara-negara di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Turki dan Qatar manakala melalui kedutaan besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan turut bekerjasama bagi koordinasi dan memudahcara bantuan kemanusiaan NGO ke negara tersebut.
“Kerajaan akan terus menyatakan pendirian tegas dalam memperjuang hak rakyat Palestin di platform antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM),” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan mengenai kerenah birokrasi dihadapi para sukarelawan yang berhasrat masuk ke Gaza memandangkan laluan utama iaitu sempadan Rafah perlu mendapat kebenaran Kerajaan Mesir, kata Kamaruddin, kerajaan sedang mengadakan hubungan supaya memudahkan proses kemasukan ke Gaza berjalan lancar.
“Baru-baru ini, ahli Parlimen Sembrong (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien) telah melawat ke Mesir dan bertemu rakan sejawat beliau. Kita harap dengan hubungan baik ini dapat menggalakkan dan melicinkan kemasukan NGO-NGO Malaysia pada masa sama mempertimbang hal-hal keselamatan supaya nyawa mereka tidak terancam,” katanya. – UTUSAN ONLINE