[PARLIMEN] Kerajaan teliti cadangan turunkan lagi harga kit kendiri Covid-19 - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kerajaan teliti cadangan turunkan lagi harga kit kendiri Covid-19

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdaganan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat penetapan harga siling bermula 5 September lalu dengan harga runcit RM19.90 dan jualan pukal RM16. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan bahawa pihaknya akan meneliti cadangan untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19.

Beliau berkata, ini bagi meningkatkan lagi penggunaan kit ujian kendiri dalam kalangan rakyat dan memastikan harga mampu milik.

“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdaganan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat penetapan harga siling bermula 5 September lalu dengan harga runcit RM19.90 dan jualan pukal RM16.

“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP bagi meneliti untuk menurunkan lagi harga jualan pada masa hadapan serta meluaskan penjualannya di premis selain farmasi komuniti seperti kedai serbaneka, pasaraya, dan kedai-kedai lain bersesuaian memandangkan keperluan penggunaan kit ujian kendiri sebagai satu norma baharu yang akan menyokong proses pemulihan negara apabila sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan selepas ini,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan berusaha meningkatkan kapasiti ujian bagi pengesanan Covid-19 melalui kerjasama berterusan dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta.

“Sehingga 16 September 2021, bilangan makmal di seluruh negara diluluskan bagi menjalankan ujian RT-PCR adalah 99 buah makmal di seluruh negara dan memberi kapasiti keseluruhan 121,803 pengujian sehari berbanding 6,210 kapasiti pengujian sehari pada bulan Mac lepas iaitu peningkatan sebanyak 1,991 peratus,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 18 kit ujian kendiri mendapat kelulusan pihak berkuasa peranti perubatan (MDA) selaras dengan Akta Peranti Perubatan 2012.

MDA juga sedang membuat penilaian terhadap beberapa lagi jenama kit ujian kendiri dan antara aspek penilaian adalah nilai sensitiviti dan specificity yang melebihi 90 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya