Panik pandu kereta hingga depan wad kecemasan - Utusan Malaysia

Panik pandu kereta hingga depan wad kecemasan

TANGKAP layar sebuah kereta yang dipandu masuk sehingga ke ruang legar Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB Ipoh semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Video tular sebuah kereta diparkir hingga di ruang legar di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam, berpunca ekoran rasa cemas pemandu ketika membawa bapanya yang diserang sakit jantung.

Video berdurasi 54 saat itu memaparkan keadaan kecoh di mana seorang lelaki menjerit-jerit sebelum seorang lagi lelaki dalam keadaan lemah dibawa keluar dari kereta jenis Perodua Kelisa untuk rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian pada pukul 11.30 malam itu berlaku kerana pemandu panik dan cemas semasa membawa bapanya yang diserang sakit jantung.

Katanya, setelah kereta diberhentikan, lelaki terbabit keluar dan menjerit meminta bantuan pihak hospital.

“Pemandu telah ditenangkan dan diminta oleh petugas hospital untuk mengalihkan keretanya ke bahagian tempat letak kenderaan awam.

“Bapa lelaki itu telah diberikan rawatan dan dimasukkan ke dalam wad,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian itu tidak melibatkan sebarang perlanggaran, kecederaan mahupun kerosakan harta awam.

“Kita juga tidak menerima laporan polis daripada mana-mana pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN