Orang ramai mahu JPJ perbanyak kaunter bergerak - Utusan Malaysia

Orang ramai mahu JPJ perbanyak kaunter bergerak

ORANG ramai beratur panjang di pekarangan pejabat JPJ Batu Uban, Georgetown, Pulau Pinang untuk menyelesaikan urusan secara bersemuka di kaunter selepas kebenaran 'walk in' di agensi itu bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan,  beliau menerima cadangan orang ramai agar kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditambah kerana tindakan itu dilihat lebih memudahkan orang ramai melakukan urusan secara pandu lalu.

Menurut Ka Siong, beliau menerima cadangan itu ketika mengadakan tinjauan hari pertama pengoperasian semula kaunter-kaunter JPJ di cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini. 

Katanya, cadangan itu juga membolehkan orang ramai yang belum lengkap divaksinasi untuk meneruskan urusan mereka berbanding jika berurusan di kaunter yang diwajibkan lengkap vaksinasi.

“Ketika berinteraksi dengan orang ramai dalam lawatan ini, saya juga menerima pelbagai cadangan daripada mereka. Antaranya cadangan untuk menambah kaunter bergerak JPJ kerana ia dilihat lebih memudahkan orang ramai untuk berurusan secara pandu lalu. 

“Selain itu, ia juga membolehkan orang ramai yang belum lengkap divaksinasi untuk meneruskan urusan mereka, berbanding jika berurusan di kaunter yang diwajibkan lengkap vaksinasi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.


WEE KA SIONG

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, bermula hari ini kaunter JPJ di seluruh negara mula beroperasi dengan kapasiti 100 peratus dengan secara ‘walk-in’.

Beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika mengadakan tinjauan di JPJ Wangsa Maju yang dilihat sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 dan masa sama meneruskan perkhidmatan untuk orang ramai.

“JPJ Wangsa Maju sebagai antara cawangan yang paling sibuk, menerima pelanggan sekitar 1,200 sehari ketika kaunter dibuka secara janji temu dalam talian. Namun, angka pengunjung meningkat kepada 2,000 selepas ia dibuka secara ‘walk-in’ ini sekali gus mempercepat urusan orang ramai.

“Selain itu, orang ramai juga boleh berurusan menerusi portal-portal yang disediakan seperti MySikap JPJ, MyEG, Puspakom dan Pos Malaysia Berhad secara dalam talian bagi urusan yang berkaitan. 

“Malah kaunter berkelompok juga disediakan bagi memudahkan urusan orang ramai yang memerlukan urusan, transaksi yang banyak menerusi syarikat swasta yang berkenaan. Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk semua urusan di kaunter JPJ,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya