PETALING JAYA: Syarikat NKT Group (M) Sdn. Bhd. memfailkan saman fitnah terhadap dua individu selepas mendakwa syarikat terbabit melakukan penipuan dalam urusan perniagaan.
Syarikat itu yang merupakan pemilik restoran Nasi Kukus Tonggek menamakan Muhammad Afiq Faisal Shamsuri sebagai defendan pertama manakala Nur Hazreen Mohd. Ramzi sebagai defendan kedua.
Writ saman tersebut difailkan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa defendan kedua telah mengeluarkan sembilan kenyataan fitnah dalam tempoh dua hingga tiga minggu sejak 3 Julai 2021 menerusi hantaran di media sosial yang mengutuk, memerli dan memburukkan reputasi syarikat tersebut dan dua plaintif yang lain.
Plaintiff Kedua, Pengerusi Syarikat (NKT), Muhammad Nur Aiman Basuni berkata pada 9 November 2020, dia bersama isteri iaitu Plaintif Ketiga yang juga Naib Pengerusi syarikat, Siti Nabilah Mohamad Isa telah bertemu dengan defendan kedua bagi membincangkan pembukaan dua cawangan di Setia Alam dan Kota Bharu, Kelantan.
“Pada awalnya, semua berjalan lancar namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan, pembukaan rangkaian NKT terpaksa ditangguhkan atas pelbagai perkara. Antaranya, pihak kontraktor yang dilantik defendan-defendan tidak dapat meneruskan kerja-kerja renovasi dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Kita juga telah mempelawa defendan kedua untuk berbincang mengenai kelewatan tersebut namun dia telah memuat naik beberapa hantaran di media sosial yang mengatakan syarikat NKT merupakan syarikat penipuan termasuk menuduh kami sebagai penunggang agama.
“Pada 7 Julai lalu, defendan kedua telah memohon maaf atas kenyataan yang dimuat naik di media sosial namun kali ini dia mempersoalkan mengenai pengiraan kos kedua-dua cawangan (outlet) tersebut dan menyatakan tujuan memuat naik hantaran tersebut adalah untuk keluar dari perjanjian yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, defendan kedua sekali lagi telah memuat naik pelbagai hantaran di media sosial yang berbaur fitnah. Ia sedikit sebanyak mencalarkan reputasi syarikat dan kedua-dua plaintif yang lain.
“Kita telah melantik peguam dan pada 27 Ogos lalu, defendan kedua telah diminta untuk menghentikan dan memadam kenyataan yang berbaur fitnah di media sosial termasuk permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.
“Kita juga telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak tersebut selepas defendan gagal mematuhi klausa perjanjian. Surat tuntutan juga telah dikemukakan. Saman telah difailkan menuntut gantirugi termasuk tuntutan perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE