SHAH ALAM: Senarai nama guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan menerima suntikan vaksin akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Tindakan berkenaan diambil apabila didapati 80 peratus daripada 146 yang hadir tengah hari tadi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diadakan dekat Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini dilaporkan enggan menerima vaksin.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad yang memaklumkan seramai 872 individu yang terdiri daripada kumpulan itu belum menerima vaksin dipanggil hadir bagi mendapatkan suntikan.
“Sehingga jam 11 pagi tadi, dapat dilihat jumlah kehadiran adalah seramai 146 orang dan 80 peratus daripadanya menolak untuk mengambil vaksin.
“Kita masih menunggu lagi semua individu ini hadir sehingga jam 3 petang dan selepas itu, nama mereka akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keadaan PPV tersebut hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman.
Sultan Sharafuddin pada awal September lalu bertitah bahawa pihak yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas selepas ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan memberitahu akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menggunakan peruntukan kuasa ke atas guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Semua ini kita akan teliti dari segi hak, perundangan, hukum dan lain-lain. Pihak terbabit juga mungkin boleh dirujuk di bawah peraturan kelakuan dan tatatertib dan semua itu akan diteliti selepas ini,” katanya.
Sementara itu, seorang guru sekolah agama di Kuala Langat yang enggan identitinya didedahkan memberitahu terpaksa menolak vaksin kerana menghadapi masalah kesihatan selain berasa ragu terhadap keberkesanannya.
“Kebanyakan individu yang mengambil vaksin mengalami alahan teruk, disebabkan itu saya tangguhkan dahulu pengambilan. Tambahan pula, saya masih menyusukan anak,” katanya.
Selain itu, Pendaftar Nikah dari Teluk Datuk, Kuala Langat, Rafhan Sanusi, 49, berkata, beliau mengambil vaksin agak lewat kerana menunggu pengesahan sama ada sesuai menerima vaksin atau tidak.
“Memang ramai berbeza pendapat tentang pengambilan vaksin, sehingga ramai yang enggan divaksin. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi golongan yang tidak mahu divaksin adalah disebabkan keadaan dan pandangan semasa pengambilan vaksin itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN










