PETALING JAYA: Siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan Datuk Seri Najib Razak terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya akan memanggil kesemua individu terlibat untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.
Kata beliau, proses itu akan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM juga akan memastijan siasatan dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, laporan polis telah dibuat bekas Perdana Menteri itu selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan dari ahli politik mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.
Najib mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa menerima maklumat mengenai denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap dirinya
Dakwanya, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.
Najib juga mendakwa, beliau diarahkan membayar denda cukai tambahan membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar, empat bulan selepas diterima. – UTUSAN