Kerajaan Perpaduan kekal muafakat tanpa pengkhianatan

Kerajaan Perpaduan kekal muafakat tanpa pengkhianatan

ANWAR Ibrahim ketika sidang akhbar khas di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Muafakat yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan kekal mantap tanpa sebarang unsur pengkhianatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat kerjasama antara parti-parti dalam gabungan kerajaan hari ini juga dibina atas dasar keikhlasan.

“Saya bersyukur kerana muafakat kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj (atau) khianat seperti yang berlaku di kalangan rakan-rakan lain,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung senario terkini politik yang berlaku di Perlis.

Hari ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.

Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Terdahulu, hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bergelora ekoran tindakan lapan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN