NADMA tidak biar pemohon tanpa keputusan - Utusan Malaysia

NADMA tidak biar pemohon tanpa keputusan

AMINUDDIN HASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggalakkan individu yang belum menerima sebarang jawapan berkaitan permohonan Bantuan Khas Covid-19 menghubungi agensi tersebut menerusi emel bagi mendapatkan kepastian.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Aminuddin Hassim berkata,  pemohon yang sudah tunggu beberapa bulan tanpa jawapan haruslah mengambil inisiatif mendekati NADMA menerusi laman web yang disediakan. 

“Ada beberapa kes terpilih yang mana para pemohon tidak mendapat keputusan dan jawapan permohonan mereka daripada agensi kami. Adalah lebih baik untuk mereka emel kepada kami, sediakan butiran yang lengkap dan kami akan beri respon sewajarnya.

“Pemohon boleh emelkan pada [email protected] di laman sekretariat NADMA supaya kami boleh memantau rapat mereka yang tidak mendapat sebarang kemas kini berkaitan permohonan mereka,” katanya hari ini.

Bantuan Khas Covid-19 kepada individu yang hilang pendapatan ketika dalam tempoh kuarantin serta Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 kepada waris.

Sehingga 31 Ogos lalu, NADMA telah meluluskan sejumlah 16,722 permohonan Bantuan Khas COVID-19 Nadma melibatkan dana berjumlah RM22,227,700.

Sementara, 3,235 permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 NADMA telah diluluskan dengan peruntukan RM16,175,000.

Dalam pada itu, pemohon juga dinasihati untuk tidak membuat permohonan berulang bagi mengelakkan kelewatan proses kelulusan.

Tambah Aminuddin, pihaknya telah menerima sekitar 300 permohonan sehari dan memerlukan penelitian sewajarnya sebelum sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak permohonan dibuat.

“Ada tuntutan yang lebih daripada seorang, contohnya si mati mempunyai dua atau tiga orang isteri, mereka perlu bersepakat berkenaan siapa yang akan memohon.

“Dana Tabung Covid-19 adalah sumbangan daripada kerajaan, institusi diraja, anggota pentadbiran, badan korporat dan sumbangan individu-individu prihatin yang disalurkan kepada pemohon Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Khas Pengurusan Kematian,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN