KOTA KINABALU: Dua mangsa yang dihanyutkan arus deras akibat banjir di Jalan Kionsom Lama pada pukul 6.45 petang semalam masih belum ditemukan.
Rakaman video menunjukkan Myvi yang dinaiki mereka cuba menyeberangi jambatan tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, setakat pagi ini, belum ada sebarang penemuan kedua-dua mangsa tersebut namun, kenderaan Myvi yang dinaiki mangsa telah ditemukan.
Kenderaan mangsa ditemukan oleh orang awam pada pukul 7.20 pagi kira-kira 200 meter daripada lokasi ia dihanyutkan.
Kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Simon Sanga Tupe, 68, dan Juning,30, dilaporkan hanyut semasa cuba melalui jambatan di Sungai Kionsom yang mula dinaiki air akibat hujan lebat semalam.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 petang semalam dan sepasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian.
Pagi ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk hari kedua.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki mengalami cedera ringan apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam sungai di Kampung Ponomuon, Kiulu, Tuaran pada 10.11 malam tadi.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa, seorang lelaki 38 tahun yang kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan EMRS bagi rawatan lanjut.









