MoU tidak bermaksud kerajaan kongsi kuasa dengan PH - Utusan Malaysia

MoU tidak bermaksud kerajaan kongsi kuasa dengan PH

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan  dan Pakatan Harapan (PH) tidak bermaksud kedua-dua berkongsi kuasa serta mengangkat gabungan parti politik itu untuk menerajui negara, namun dirintis demi kestabilan politik.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, MoU itu adalah kesefahaman antara kerajaan dan pembangkang dan sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Seperti mana disebut Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, ini tidak bermaksud pembangkang akan berhenti menjadi pembangkang, jauh sekali menjadi sebahagian kerajaan. Saya yakin pembangkang masih menjalankan peranan mengkritik dan memberi semak imbang kepada kerajaan dan tidak akan lepaskan lesen tersebut.

“Sama juga bagi kerajaan, persefahaman ini tidak bermaksud kita terus memadam sebarang perbezaan antara parti ataupun berkongsi kuasa memutuskan sesuatu. Keputusan akhir apa sahaja dasar masih di tangan kerajaan dan pembangkang juga memahami hakikat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya antara kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Menurut Shahril Sufian, asas pemeteraian MoU itu tidak bermakna kerajaan mengawal pembangkang atau sebaliknya, namun pengisian penuh persefahaman itu memberi harapan bahawa kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama dalam mengamalkan demokrasi bermusyawarah terutama dalam Parlimen ke arah melahirkan keberhasilan terbaik untuk rakyat melalui kestabilan politik.

“Contohnya dengan pembabitan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas di Parlimen atau pembabitan dalam pelan memerangi Covid-19.

“Walaupun yang buat keputusan tetap kerajaan dengan pembabitan pembangkang dalam perbincangan atau idea, tentunya ia membantu ke arah mereka menyumbang kepada kestabilan politik yang menjadi isu pokok kebelakangan ini.

“Daripada segi konsepnya, kerjasama bipartisan bukan perkara baharu cuma kali ini diperhebat dan kaedahnya lebih formal daripada biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada pihak boleh mendakwa mendapat kelebihan daripada MoU tersebut kerana ia dirintis demi rakyat dan negara akhirnya mendapat kelebihan hasil persefahaman ini melalui dasar dilaksana dan kestabilan tercapai walaupun seketika.

“Jika hal PH itu biarlah wakil PH yang hujahkan, sama ada mereka mahu dilihat matang, berkorban demi rakyat atau naratif lain walaupun masih belum jelas setakat ini.

“Tetapi daripada sudut UMNO dan BN, kita mampu mendapat kelebihan kerana buat ketika ini kerajaan pimpinan UMNO diberi ruang mentadbir. Jika orang lain mahu menyokong pentadbiran UMNO atas sebab mereka sendiri dan selagi kita boleh merasionalkan tuntutan mereka tidak mencederakan rakyat atau melangkaui batasan parti, kita uruskanlah ke arah kelebihan sendiri juga,” katanya.

Shahril menambah, segalanya masih tertakluk kepada prestasi kerajaan dan penilaian rakyat sendiri kerana sebarang apa jua persefahaman sekalipun, jika kerajaan tidak menggunakan peluang yang ada berkhidmat dengan baik, UMNO akan dihukum ketika PRU-15.

“Namun jika kerajaan berprestasi cemerlang, imej UMNO juga meningkat. Jadi bagi orang UMNO, ada baik kiranya memberi peluang dan ruang melihat sebarang persefahaman yang memperkuat kedudukan kerajaan pimpinan UMNO sekali gus mampu membantu meningkatkan kebarangkalian prestasi yang baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN