PARIS: Lionel Messi berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri di Paris kerana sehingga kini masih belum mendapat rumah baharu buat keluarganya.
Angel Di Maria berkata, situasi peribadi pemain itu tidak ideal seperti dilihat.
Akhbar Argentina, Ole melaporkan Di Maria menggambarkan situasi kehidupan Messi sebagai bukan sesuatu yang mudah.
“Apabila Leo makan malam, sentiasa ada motosikal atau kereta berhampiran tempat itu. Orang di sini sangat menghormati orang lain dan jika kami keluar mereka tidak akan mengganggu.
“Kami tidak boleh ke mana-mana apabila bersama Leo,” katanya
Messi belum menemui rumah di Paris buat isterinya Antonella dan tiga anak lelaki mereka, Thiago, Matteo dan Ciro.
Pemain itu yang juga pemenang Ballon d’Or enam kali itu difahamkan menetap di hotel mewah Le Royal Monceau berhampiran Paris. – AGENSI