MELAKA: Jabatan Belia dan Sukan negeri sedia menambah bilangan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) sekiranya ada permintaan daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, buat masa ini seramai 256 sukarelawan myVAC bertugas di seluruh Melaka sebagai pemudah cara dan membantu petugas kesihatan dalam melancarkan pergerakan penerima vaksin.
Menurut beliau, penglibatan sukarelawan myVAC paling tinggi adalah di Melaka Tengah dengan 180 orang diikuti Alor Gajah seramai 42 orang dan 34 orang di Jasin.
“Mereka bertugas di 16 pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk di dua PPV Mega baharu iaitu di Stadium Hang Jebat dan Stadium Mini Jasin. Sukarelawan ini melakukan tugas bukan kesihatan seperti saringan gejala dan imbasan suhu, pendaftaran serta menghubungi penerima vaksin yang layak.
“Sekiranya ada permintaan daripada CITF negeri, kami sedia memohon melalui CITF kebangsaan untuk kelulusan atau menerusi Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya akan pastikan penglibatan myVAC pada tahap yang memuaskan agar kelancaran program vaksinasi di Melaka tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Mega Stadium Hang Jebat di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rafiq, setakat ini hanya dua kemudahan sukan sahaja yang diberi kebenaran untuk meningkatkan kadar vaksinasi harian.
“PPV Mega Stadium Hang Jebat mampu memberi vaksinasi sehingga 5,000 penerima sehari manakala PPV Mega Stadium Mini Jasin pula berkapasiti 3,000 suntikan sehari.
“Pembukaan dua PPV Mega ini membolehkan kapasiti suntikan di Melaka meningkat kepada 22,000 dos sehari,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai suntikan kepada penggiat sukan, Mohd. Rafiq memberitahu, tiada program khusus vaksinasi kepada golongan berkenaan.
Jelasnya, mereka yang terlibat dengan aktiviti sukan boleh datang ke mana-mana PPV untuk menerima suntikan sama seperti rakyat Malaysia yang lain. – UTUSAN ONLINE