MELAKA: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM446,000 kepada 446 usahawan menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, inisiatif berjumlah RM1 juta itu merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2021 negeri, memberi manfaat kepada 1,000 individu dan syarikat.
Menurut beliau, ia juga dapat menyemarakkan lagi budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat tempatan serta meningkatkan daya saing para pengusaha yang terkesan akibat pendemik Covid-19.
“Kerajaan negeri menerima sebanyak 1,287 permohonan iaitu 781 permohonan dalam fasa satu, sementara fasa dua melibatkan 506 permohonan. Sebanyak 446 permohonan telah diluluskan dengan peruntukan bernilai RM446,000 setakat Ogos lalu.
“Dana ini akan disalurkan ke dalam akaun penerima yang berjaya. Semoga bantuan tersebut dapat meringankan kesusahan yang dialami oleh pengusaha atau usahawan dalam menghadapi situasi pandemik dan juga norma baharu dalam kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran Dana Bantuan Kasih Niaga di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Daerah Jasin mencatatkan kelulusan tertinggi bagi fasa satu iaitu sebanyak 155 permohonan diikuti Masjid Tanah (129), Melaka Tengah (115) dan Alor Gajah (47).
Tambah Sulaiman lagi, sebanyak 554 permohonan yang masih dalam pertimbangan akan diluluskan dalam masa terdekat.
Jelasnya, permohonan yang belum diluluskan itu mungkin disebabkan oleh maklumat atau dokumen tidak lengkap.
“Kita minta usahawan terbabit mohon bersabar kerana kerajaan negeri sedang memperhalusi permohonan masing-masing dan apabila lengkap, kita akan menyalurkan terus ke dalam akaun penerima.
“Sekiranya ada permohonan baharu diterima, kerajaan negeri akan meneliti semula kemampuan kewangan untuk meluluskannya,” jelasnya. – UTUSAN