Melaka benarkan kapasiti penuh solat Jumaat mulai 1 Oktober

Melaka benarkan kapasiti penuh solat Jumaat mulai 1 Oktober

MASJID dan surau di Melaka dibenarkan kapasiti penuh solat Jumaat dengan mengekalkan penjarakan fizikal 1.5 meter, berkuat kuasa 1 Oktober ini. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri membenarkan ruang kapasiti masjid dan surau digunakan sepenuhnya untuk solat Jumaat dengan mengekalkan penjarakan fizikal 1.5 meter, berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baru dibuat mengikut keadaan peralihan fasa terkini Melaka yang telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membenarkan solat Jumaat dijalankan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter dan kawasan dibenarkan adalah di dalam ruang solat masjid.

“Pembinaan khemah tambahan adalah dilarang. Begitu juga dengan di masjid kariah dan surau di seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelasnya, bagaimanapun bagi solat fardu dan solat jenazah di masjid kerajaan negeri, jumlah kapasiti dibenarkan adalah seramai 500 jemaah.

“Bagi masjid kerajaan jumlah maksimum jemaah adalah 500 orang, manakala masjid kariah seramai 200 dan surau 100 jemaah.

“Mereka yang hadir ke masjid untuk solat atau aktiviti pengimarahan, sama ada rakyat tempatan mahupun warga asing mestilah telah lengkap dua dos vaksinasi serta melepasi tempoh matang 14 hari,” ujarnya.

Tambahnya, ibu bapa bagaimanapaun tidak digalakkan untuk membawa anak-anak berusia bawah 12 tahun ke masjid.

Che Sukri berkata, setakat ini Melaka masih lagi menangguhkan sebarang penganjuran majlis yang melibatkan perhimpunan ramai, jamuan di masjid dan surau, aktiviti gotong royong dan jemaah tabligh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.