KUANTAN: Mayat anggota tentera daripada 10 Briged Para yang dipercayai lemas selepas hilang di Sungai Pahang di Kampung Batu Bor di Bera dekat sini pada 29 Ogos lalu ditemukan hari ini.
Mayat Allahyarham Lans Koperal Mohamad
Azrin Mohamad Isa ditemukan pukul 8.15 pagi oleh penduduk di Kampung Serengkam, Maran, dekat sini kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.
Mohamad Azrin yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni Pandura (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera.
Semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor kira pukul 4.40 petang.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataannya hari ini mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta mana-mana agensi yang membantu dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat yang bermula 29 Ogos lalu.
Menurutnya, Tentera Darat turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Mohamad Azrin iaitu Nor Aqila Syafiqa Safuan serta ahli keluarganya.
“Tentera Darat akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.
“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
“Tentera Darat turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham Mohamad Azrin bagi menjaga
perasaan waris mangsa,” kata kenyataan itu.