SEMENYIH : Parti komponen yang meninggalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan diterima kembali dalam gabungan itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN tidak dihargai dan diketepikan ekoran wujud rasa tidak puas hati disebabkan kuasa.
Malah katanya, parti komponen perlu bersabar dan bersama-sama untuk terus mengharungi ujian dan cabaran dalam politik.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun.
“Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya ketika ditemui dalam majlis Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini hari ini.
Walaupun tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, namun kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam gabungan berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, politik bukan medan untuk membuat keputusan bersandarkan emosi termasuk ketika marah, sedih atau terdesak.
Sebaliknya kata beliau, ia memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik yang sentiasa berubah termasuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Politik ini sifatnya dinamik. Jangan hanya sebb kuasa, keputusan dibuat tanpa mengambil kira persahabatan,”jelasnya.
Ahmad Zahid dalam masa yang sama turut memberitahu, kedua-dua pihak tidak mengadakan sebarang pertemuan pasca Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC yang lalu.
Dalam AGM pada bulan lalu itu, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, para perwakilan turut bersetuju keputusan muktamad berhubung perkara itu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang, bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh.-UTUSAN










