Mat Sabu tidak puas hati sistem pertahanan negara - Utusan Malaysia

Mat Sabu tidak puas hati sistem pertahanan negara

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu belum berpuas hati dengan sistem pertahanan negara dalam aspek peralatan dan senjata untuk mengawal keselamatan khususnya di Sabah.

Jika Pakatan Harapan (PH) kembali mentadbir di peringkat Persekutuan, beliau berniat menambah baik sistem pertahanan supaya kegiatan jenayah melibatkan pemerdagangan manusia, keganasan di negara jiran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat diselesaikan.

Katanya, memang ada kerjasama dan perjanjian antara Malaysia, Indonesia dan Filipina selain kerja-kerja rondaan di laut, darat serta udara namun ia masih perlu dipertingkatkan.

“Saya pernah melawat sebuah negara di Timur Tengah dan bertanya berapa bot pemintas laju (FIC) yang ada untuk mengawal Teluk Parsi? Mereka kata ada 1,000 bot tetapi ini masih tidak mencukupi.

“Saya senyum sahaja, tidak mampu beritahu berapa (bot pemintas laju) yang ada di Sabah. Kalau saya beritahu, barangkali terkejutlah kerana peralatan kita tidak cukup,” katanya semalam.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata demikian menerusi webinar bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO dalam Perjuangan PH yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UPKO Malaysia.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menjawab soalan diajukan pengacara rancangan yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson W. Angang, berkenaan isu keselamatan di Sabah melihat penyertaan UPKO yang menjadi saluran lebih baik dalam keterlibatannya membuat dasar bersesuaian di peringkat nasional.

Webinar itu turut disertai pemimpin-pemimpin parti komponen PH lain iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan beberapa pemimpin UPKO serta ditonton lebih 1,000 pengguna Facebook.

Mohamad dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika awal pembentukan kerajaan PH selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada Mei 2018.

Kelangsungan gabungan itu tidak bertahan sehingga satu penggal akibat Langkah Sheraton yang menyaksikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, membawa parti itu keluar daripada PH dan membentuk kerajaan baharu bersama 11 ahli Parlimen PKR melompat parti dan dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mohamad, beliau kerap mengadakan lawatan di laut dan pulau-pulau kecil di negeri itu dan berpandangan masih banyak aspek keselamatan dan pertahanan yang perlu diberi perhatian kepada Sabah tanpa tidak menafikan hak yang sama perlu diberikan kepada negeri-negeri lain.

“Kita juga dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) disediakan untuk rancangan sistem pertahanan yang lebih komprehensif. Tidak tahulah sama ada kerajaan baharu ini melihatnya yang antaranya menekankan soal kerjasama tiga negara.

“Keselamatan di Sabah amat penting kerana jika sesuatu berlaku kepada negeri ini, ia bersangkut-paut dengan Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, KPP adalah dokumen yang menetapkan hala tuju kerajaan dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Komitmen dan keutamaan kerajaan dalam KPP digariskan bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan RMK 13. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN