Maritim Perak tahan bot pukat tunda, rampas 50 set bubu naga

Maritim Perak tahan bot pukat tunda, rampas 50 set bubu naga

BOT pukat tunda yang ditahan kerana menangkap ikan di zon larangan dekat Pulau Pasir Hitam, Trong, Perak semalam. - FOTO/IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot pukat tunda kerana menangkap ikan di zon larangan serta merampas 50 set bubu naga dalam dua kejadian berasingan sekitar perairan Pulau Pasir Hitam, Trong, pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam kejadian pertama bot ronda pasukan itu yang melakukan Op Benteng dan Op Pintas menahan sebuah bot pukat tunda kelas B kerana melanggar syarat sah lesen  di kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, pukul 8.30 pagi.

“Ketika ditahan, bot yang dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 58 dan 69 tahun  itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Pasir Hitam dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan.

“Oleh itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, bot bersama kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 50  kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan dan tiba sekitar jam 12 tengah hari semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak bagi tindakan lanjut.

Beliau juga memberitahu pada hari sama, sekitar pukul 9.30 pagi sebanyak 50 set bubu naga telah dirampas di sekitar perairan Pulau Pasir Hitam berikutan hasil rondaan dan pengesanan oleh anggota bot dalam operasi yang sama. 

Jelasnya, dengan anggaran harga RM120 setiap unit, nilai keseluruhan 50 bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM6,000 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau menegaskan pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya