Maritim Perak bantu kru kapal warga Itali sakit apendiks - Utusan Malaysia

Maritim Perak bantu kru kapal warga Itali sakit apendiks

KRU kapal dagang warga Itali yang berlabuh di Banda Acheh, Indonesia dibantu oleh anggota Maritim Perak bagi mendapatkan rawatan di Hospital Pantai, Seri Manjung semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang wanita warga Itali yang juga kru sebuah kapal dagang yang berada di perairan utara Banda Acheh, Indonesia, diberi bantuan pemindahan perubatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, pagi semalam.

Kru tersebut, Corina Savoschin, 22, berasal dari Rom, mengadu sakit perut kronik disyaki menghidap apendiks, memaksa pemilik kapal menghubungi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi untuk meminta bantuan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Sharizan Raman berkata, MRSC Langkawi menerima aduan daripada syarikat pemilik kapal yang berpusat di Singapura kira-kira pukul 2 petang kelmarin meminta bantuan bagi membawa kru wanita ke pusat kesihatan atau hospital terdekat.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, lokasi Kapal MV DRENEC itu dimaklumkan berada di sekitar 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.

“Ejen kapal tersebut yang berada di sini mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih meyakinkan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, wanita tersebut dipindahkan melalui titik pertemuan aset Maritim Malaysia bersama kapal tangki terbabit di kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor pada pukul 8.30 pagi semalam.

Jelasnya, mangsa dipindahkan dengan menggunakan kaedah ‘bakul pemindah’ milik kapal dagang tersebut MV Drenec ke Kapal Maritim (KM) Penggalang 39 dan selamat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan kira-kira pukul 11 pagi semalam, sebelum dihantar ke Hospital Pantai Seri Manjung Perak bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Maritim Perak menyelamatkan 10 pemancing warga tempatan yang berdepan detik cemas apabila bot pancing mereka mengalami kerosakan di kedudukan 8.9 batu nautika barat daya Pulau Dua, dekat sini, sekitar pukul 7.35 malam kelmarin.

Menurut Shahrizan, maklumat insiden itu diperoleh daripada Pusat Operasi Maritim  (POMAR) Ibu Pejabat Putrajaya selepas pemilik bot bernama ‘SEA TULL’ itu melaporkan kejadian dengan meminta aset bantuan untuk menunda bot pancing tersebut ke perairan Pulau Pangkor.

“Aset Maritim Malaysia KM Rawa telah digerakkan untuk memindahkan kesemua pemancing ke atas bot Perkasa 1223 pada pukul 3.30 pagi semalam,” jelasnya.

Beliau memberitahu kesemua 10 pemancing warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 50 tahun itu  didarat dan dilaporkan dalam keadaan stabil sehingga tiba di Jeti Perikanan Kampung Acheh.

Shahrizan meminta Maritim orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. – UTUSAN

ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN