Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

Maritim Malaysia rampas 14 set bubu naga

SEORANG anggota Maritim Malaysia Pulau Pinang menaikkan set bubu naga di salah satu lokasi sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam, dekat sini semalam. 

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu yang dilakukan antara pukul 4 hingga 5.20 petang dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin Op Bengeng Laut dan Op Pertiwi di perairan Pulau Pinang. 

“Pemeriksaan di kedua-dua lokasi semasa rondaan menemukan sejumlah 14 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM1,860 dan dirampas lalu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain terutama nelayan tradisional pesisir pantai. 

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. 

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya. 

Tambah beliau, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.  

“Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.  

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN