Mangsa tragedi kepala air disediakan khidmat kaunseling - Utusan Malaysia

Mangsa tragedi kepala air disediakan khidmat kaunseling

RINA Harun (dua dari kanan) menyantuni Sukina Abu Bakar yang terlibat dalam banjir lumpur berikutam tragedi kepala air di Jalan Masjid Yan, Yan, Kedah, hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan khidmat kaunseling kepada penduduk yang terlibat dengan tragedi kepala air, bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, khidmat sokongan itu diberikan dalam usaha menstabil dan memulihkan emosi mangsa yang masih trauma akibat tragedi mengakibatkan banjir luar biasa itu.

“Selain bantuan kewangan dan barangan, kita faham ada penduduk yang masih trauma. Apabila hujan mereka cemas kerana ini adalah kali pertama berdepan dengan kejadian ini.

“Kementerian sediakan khidmat kaunseling kepada penduduk ini untuk reda perasaan dan gangguan emosi mereka dalam menghadapi keadaan ini. Kita mulakan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni keluarga mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai di Jalan Masjid Yan, Yan, dekat sini hari ini.

Menurut Rina, bimbingan kaunseling berkenaan disediakan kepada mangsa dengan penyelarasan daripada JKM yang turun padang meninjau perkembangan mereka sejak kejadian itu.

“JKM terima senarai daripada mereka yang terlibat untuk hulurkan bantuan, dalam masa yang sama mereka menilai keperluan kaunseling ini kepada penduduk terlibat dan dari situ kita gerakan bantuan kaunseling itu,” katanya.

Tambahnya, selain bantuan kaunseling, kementerian berharap peruntukan disalurkan kerajaan untuk membaik pulih infrastruktur di kawasan itu menjadi langkah jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan penduduknya.

Menyentuh tentang lawatan itu, kata Rina, sebanyak 30 sukarelawan JKM dan 20 sukarelawan Skuad Prihatin Negara bersamanya melakukan gotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat tragedi berkenaan.

“Selain menyantuni mangsa kita jug bagi bantuan barangan seperti peralatan elektrik dan bakul makanan. Bantuan segera sebanyak RM300 juga diberikan kepada 1,380 keluarga yang terlibat dan ini akan diselaraskan oleh JKM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN