KUALA SELANGOR: Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor meningkat kepada 101 orang susulan pembukaan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Jeram itu dibuka pada pukul 5.59 petang semalam dan menempatkan seramai 11 mangsa terbaharu.
Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, pemindahan itu melibatkan penduduk di Jalan Bahagia, Kampung Parit Mahang yang turut dilanda banjir.
“Semua mangsa daripada lima keluarga itu turut termasuk tiga kanak-kanak dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan PPS SK Parit Mahang masih lagi dibuka setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau yang juga Seketariat Pengurusan Bencana daerah, jumlah mangsa di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, masih kekal 90 orang.
“Sehingga pukul 8.17 pagi tadi, kesemua 27 keluarga itu ditempatkan di PPS SK Rantau Panjang.
“Kesemua mangsa termasuk 25 kanak-kanak, 11 warga emas dan masing-masing seorang bayi lelaki dan wanita OKU,” ujarnya.
Kelmarin, hujan lebat berterusan mengakibatkan seramai 48 penduduk Kampung Rantau Panjang terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dilanda banjir.
Pemindahan itu dilakukan selepas rumah penduduk dinaiki air setinggi satu meter atau paras pinggang akibat hujan sejak malam Sabtu lalu. – UTUSAN ONLINE