JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Skudai mencatatkan penurunan setelah keadaan banjir yang semakin pulih.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, setakat pukul 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir yang berada di dua PPS itu adalah seramai 40 mangsa daripada 35 buah keluarga.
Katanya, jumlah itu menurun dengan banyak berbanding semalam yang mencatatkan seramai 96 mangsa daripada 50 keluarga setelah keadaan menjadi selamat untuk pulang ke rumah masing-masing.
Tambahnya, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan adalah penduduk di Lorong Aris Batu 8/12 dan Kampung Laut Batu 10, Skudai.
“Sehingga kini, PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang masih menempatkan jumlah sama iaitu 33 mangsa daripada 33 keluarga. Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai pula menurun kepada tujuh mangsa daripada dua keluarga.
“Situasi banjir di daerah ini dilaporkan terkawal dan laporan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kelmarin, hanya sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di daerah Pontian beroperasi yang menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.
Bagaimanapun, PPS berkenaan sudah ditutup pukul 2 petang selepas keadaan cuaca didapati cerah, selain penduduk selamat untuk pulang ke kediaman masing-masing. – UTUSAN










