Malaysia belum lagi iktiraf Taliban - Utusan Malaysia

Malaysia belum lagi iktiraf Taliban

SAIFUDDIN Abdullah (kanan) bersama timbalannya, Kamarudin Jaffar memulakan tugas di Kementerian Luar, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia setakat ini belum lagi mengiktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan setelah kejatuhan Presidennya, Mohamad Ashraf Ghani pada 15 Ogos lalu.

Demikian ditegaskan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika ditanya pada sidang akhbar sulung beliau selepas dilantik memegang jawatan itu di Wisma Putra di sini hari ini.

“Kita masih lagi melihat keadaan di negara itu sebelum membuat pendirian rasmi kerana dari sehari ke sehari, kita menerima banyak maklumat baharu daripada pelbagai pihak,” katanya ketika ditanya mengenai pengiktirafan ke atas Emiriah Islam Afghanistan yang dibentuk Taliban menggantikan Republik Islam Afghanistan.

Ia susulan status Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India masih diberi pentauliahan untuk hal ehwal Afghanistan seolah-olah Malaysia telah pun memperakui kerajaan baharu itu.

Setakat ini, belum ada lagi negara yang mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan sah negara itu meskipun China dan Rusia dilapor masih mengekalkan kedutaan mereka di ibu kota Kabul.

Sebelum Afghanistan ‘ditawan’ Amerika Syarikat (AS) sejurus selepas insiden 11 September 2001, Taliban cuma diperakui oleh kerajaan Arab Saudi, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Malaysia mengambil pendirian tidak tergesa-gesa mahu mengiktiraf negara tertentu kerana ia melibatkan pelbagai faktor dalam hubungan diplomatik.

“Namun Malaysia juga tidak ‘menghakimi’ sesebuah negara berdasarkan siapakah kerajaan yang dibentuk dan saya beri jaminan, isu ini akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Afghanistan setakat ini masih lagi ada kedutaan di Kuala Lumpur dengan dutanya, Dr. Moheb Rahman Spingar pada 24 Ogos lalu mengesahkan beliau tidak mewakili kepentingan Taliban.

Ditanya mengenai isu dua individu yang dipercayai konon rakyat Malaysia ditawan pejuang Taliban, beliau berkata bahawa pihak Bukit Aman masih lagi menyiasat kesahihan perkara itu.

Mereka antara enam anggota Khilafah Islamiah Wilayah Khorasan diberkas selepas serangan berdarah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul minggu lalu.

Kumpulan yang dibentuk rangkaian Daesh itu mengaku bertanggungjawab dalam insiden tragik sehingga mengorbankan lebih 100 orang awam selain sejumlah 13 askar AS.

Bagaimanapun jelasnya, memang ada dua warga Malaysia disahkan berada di Afghanistan sebagai sukarelawan organisasi kemanusiaan antarabangsa dan tiada isu besar yang timbul.

“Saya pagi tadi ada bercakap terus Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan mereka masih tunggu laporan yang sahih mengenai status dua individu itu,” katanya.

Isu itu jelasnya, berbeza dengan kes dua rakyat Malaysia di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba yang dibicarakan ekoran pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 lalu.

Beliau namun tidak mengulas lanjut mengenai nasib dua individu itu sama ada Malaysia akan memohon mereka dibawa balik ke negara ini atau terus menerima hukuman penjara di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya