NIBONG TEBAL: Seorang jurutera lelaki ditahan polis selepas melanggar beberapa peralatan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar, Simpang Ampat, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima berusia 41 tahun itu didapati memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, ketika kejadian terdapat enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas.
Beliau berkata, anggota Rela berkenaan melihat Toyota Estima berwarna perak itu berada di lorong kanan dan secara tiba-tiba membelok ke lorong kiri.
“Dia sempat menjerit beberapa kali sebelum anggota polis yang berada di situ mengelak ke bahu jalan.
“MPV itu terus merempuh beberapa kon, lampu polis, papan tanda pemeriksaan polis dan payung sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Chong Chern berkata, polis kemudian menahan suspek dalam jarak kira-kira 200 meter sebelum mendapati nafas lelaki itu berbau alkohol dan dia dipercayai mabuk.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Perdana, Simpang Ampat dari tempat kerja di Bukit Mertajam.
“Dia mengaku telah mengambil minuman keras bersama pelanggan di syarikatnya pada pukul 7 malam hingga 8 malam,” katanya.
Chong Chern berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967. – UTUSAN ONLINE










