Lelaki berusia 53 tahun ditahan cabul kanak-kanak di tangga flat

Lelaki berusia 53 tahun ditahan cabul kanak-kanak di tangga flat

MOHAMAD FAKHRUDIN ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencabul tiga kanak-kanak di tangga sebuah flat di Sri Damansara, Petaling Jaya, di sini semalam.

Malah, dua daripada mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 11 tahun.

Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan selepas pihak polis menerima aduan daripada bapa seorang daripada mangsa berusia 39 tahun kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bapa mangsa membuat aduan kepada polis selepas melihat satu rakaman video berdurasi 19 saat yang ditunjukkan oleh pengerusi persatuan penduduk flat terbabit.

Katanya, kandungan rakaman video itu menunjukkan suspek memeluk dan menggeselkan kemaluannya beberapa kali pada mangsa yang berusia tujuh tahun di tangga flat berkenaan.

“Rakaman video itu berjaya dirakam oleh seorang penduduk yang terserempak dengan perbuatan suspek.

“Susulan itu, suspek ditahan oleh saksi kejadian bersama beberapa penduduk flat dengan bantuan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakrudin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dikenal pasti bukan penduduk di flat berkenaan tetapi berada di situ dengan alasan untuk mencari seorang rakan lamanya.

Ujarnya, siasatan juga mendapati suspek turut melakukan perbuatan yang menjengkelkan itu terhadap dua lagi rakan mangsa iaitu kedua-duanya berusia 11 tahun di lokasi yang sama.

“Kita juga sedang mengesan sekiranya terdapat mangsa lain.

“Suspek direman tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792),” ujar beliau.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN