MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka membayar lebih RM160,000 pencen penakat membabitkan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Pengarahnya, Abd. Razak Omar berkata, pihaknya merekodkan jumlah bayaran keseluruhan penakat sebanyak RM332,117.76 sejak awal tahun sehingga Ogos lalu.
Jelasnya, lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan bayaran kepada ahli keluarga pencarum yang meninggal dunia akibat pandemik.
“Dalam tempoh lapan bulan, Perkeso telah menyelesaikan sebanyak 258 kes penakat dengan lebih separuh membabitkan kes Covid-19.
“Jumlah keseluruhan bayaran penakat dibuat adalah RM332,117.76, jadi lebih RM160,000 telah diserahkan kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat wabak tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan pencen penakat kepada waris pencarum di Masjid Tanah di sini.
Tambahnya, jumlah bayaran penakat dibuat setelah semua syarat pencaruman dipenuhi termasuklah meninggal dunia pada usia 60 tahun ke bawah.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa mana-mana individu yang bekerja sendiri mengambil peluang membuat caruman di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).
“Pada waktu pandemik ini, kita susah menjangkakan berlaku perkara tidak diingini termasuk kematian akibat Covid-19.
“Jadi, saya nasihatkan semua individu mengambil peluang mencarum di bawah SPS di mana dua pertiga daripada bayaran telah disubsidi kerajaan dan pencarum hanya perlu membayar bakinya serendah RM13.10 untuk setiap bulan.
“Tidak kiralah suri rumah yang berniaga secara dalam talian mahupun menjual kuih-muih di tepi jalan, buatlah caruman demi kepentingan masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN