PETALING JAYA: Pendapatan huluan IOI Corporation Berhad (IOI) dijangka terus kukuh, disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang kekal tinggi, selain langkah strategik syarikat meneroka usaha baharu bagi mempelbagaikan aliran pendapatan.
RHB Research berkata, IOI mencatatkan pertumbuhan tandan buah segar (BTS) sebanyak 1.3 peratus bagi tahun kewangan 2025, lebih rendah daripada sasaran asal iaitu tiga peratus.
“Pengeluaran menunjukkan kemuncak kecil pada April, namun IOI menjangkakan peningkatan semula pada Julai dengan kemuncak lebih ketara pada Ogos hingga September,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi tahun kewangan 2026, IOI menjangkakan pertumbuhan BTS antara tiga hingga lima peratus, didorong keadaan cuaca yang lebih baik, selari dengan unjuran RHB Research iaitu empat peratus.
Dalam pada itu, firma penyelidikan berkata, IOI optimis dengan penyertaan sebanyak 33 peratus dalam usaha sama baharu bersama Nextgreen Global Bhd. bagi pembangunan projek kilang pulpa dan kertas menggunakan tandan kosong kelapa sawit (EFB) di Pekan, Pahang.
“Fasa pertama kilang dengan kapasiti pengeluaran 150,000 tan dijangka mula beroperasi menjelang 2028, dengan potensi sumbangan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) antara RM30 juta hingga RM50 juta.
“IOI turut meneroka segmen baharu menerusi tanaman kelapa di kawasan tanah pinggiran seluas 3,500 hektar, dengan sasaran keseluruhan seluas 4,600 hektar.
“Segmen ini dijangka menyumbang EBIT antara RM60 juta hingga RM70 juta berdasarkan harga pasaran semasa apabila tanaman mencapai kematangan penuh,” katanya.
RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham IOI dengan harga sasaran RM4.30. – UTUSAN








