KUALA LUMPUR: Sebanyak 228 kes meliputi produk berkaitan makanan dikesan melanggar status halal dengan nilai rampasan sebanyak RM11.616040 juta setakat Ogos 2021.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, rampasan tersebut adalah hasil daripada pemeriksaan terhadap produk-produk yang tidak mematuhi status halal.
“Kita melakukan pemeriksaan terhadap logo halal dan produk halal itu sendiri. Sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi kita hanya menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal.
“Pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bersama Jakim, malah pemeriksaan turut dibuat di tempat-tempat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung langkah-langkah mengatasi serta jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada import daripada luar negara atau keluaran dalam negara.
Dalam pada itu, Rosol berkata kartel daging akan melalui perbicaraan penuh di mahkamah pada 14, 15 dan 16 Disember ini setelah pihak yang terlibat telah didakwa pada Februari 2021.
“Lantaran itu, kami menyeru pengguna di luar sana, jika ada sesuatu yang meragukan, boleh melaporkan kepada kita dan kita akan mengambil tindakan serius kerana hal berkaitan makanan halal adalah sesuatu yang tidak dapat kita kompromi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung status sindiket kartel daging sejuk beku import yang pernah menggemparkan negara beberapa bulan lalu.
Di samping itu, Rosol berkata, Jakim sedang membangunkan alat untuk mengenal pasti status halal terhadap produk-produk lain selain makanan.
“Alat ini untuk pastikan barang bukan makanan contohnya kosmetik, pakaian, kulit babi dan kulit anjing juga sesuatu benda yang serius dan perlu diberi perhatian.
“Jadi, kita harap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat oleh pihak Jakim,” katanya.- UTUSAN ONLINE









