Laksanakan peraturan kawal selia industri rokok elektronik - Utusan Malaysia

Laksanakan peraturan kawal selia industri rokok elektronik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) berharap kerajaan akan memperkenalkan peraturan kawal selia industri rokok elektronik (vape) dalam Belanjawan 2022.

Menurut MVIA, pihaknya percaya pelaksanaan peraturan itu dapat membantu menyemarakkan ekonomi negara selain mampu menarik pelabur asing ke dalam negara dan memastikan perlindungan kepada pengguna dari segi kualiti produk.

Presidennya, Rizani Zakaria berkata, pihak industri telah memperjuangkan pelaksanaan peraturan bagi memperkasa industri itu sejak sekian lama dan dengan keadaan negara yang bergelut dengan pelbagai isu ekonomi dan kesihatan, sudah tiba masa ia dilaksanakan.

“Belanjawan 2022 akan dibentangkan tidak lama lagi. Kami berharap permintaan kami ini mendapat perhatian kerajaan untuk segera mengawal selia industri rokok elektronik tempatan.

“Kami di MVIA bersedia untuk membantu kerajaan dan menjadi suara industri untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan peraturan kawal selia tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, pihaknya telah menyerahkan cadangan tersebut kepada kementerian yang berkaitan dan pada masa sama akan memohon sesi konsultasi bersama kerajaan untuk memberikan maklum balas berkenaan keperluan peraturan untuk industri tersebut.

Rizani memberitahu, industri yang kuat dan kukuh bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri dan pengguna tetapi juga menggalakkan usahawan terutamanya bumiputera untuk terlibat dalam rantaian bekalan yang seterusnya menawarkan peluang pekerjaan.

Setakat ini, katanya, industri rokok elektronik telah berjaya menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan mampu menjana berbilion ringgit bagi ekonomi tempatan. MVIA menganggarkan industri itu bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan berdaftar.

“Kita sedia maklum bahawa kerajaan sedang dalam fasa memulihkan negara melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kerajaan harus menyenaraikan industri rokok elektronik sebagai antara fokus yang boleh membantu pembangunan ekonomi, modal insan dan kesihatan awam.

“Selain itu, majoriti pengguna rokok elektronik di Malaysia adalah bekas perokok dan mereka mendukung polisi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) dan hanya dengan peraturan, produk rokok elektronik dapat membantu perokok berhenti merokok dengan bertukar kepada alternatif yang kurang memudaratkan.

“Hanya dengan peraturan, satu piawaian dapat ditetapkan dan kualiti produk akan terjamin. Bukan sahaja itu, peraturan juga perlu mengambil kira perbezaan hasil tembakau dan rokok elektronik,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya