Krisis air 2.0: Dua loji rawatan bergerak untuk penduduk terjejas - Utusan Malaysia

Krisis air 2.0: Dua loji rawatan bergerak untuk penduduk terjejas

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penduduk di daerah ini dan Kuala Terengganu yang terlibat dengan krisis air 2.0 sejak 23 Ogos lalu boleh mendapatkan bekalan air menerusi dua loji rawatan bergerak  yang ditempatkan di Dataran Jeram Hulu di sini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, loji sepanjang 12.1 meter sumbangan Pejabat Perdana Menteri itu mampu mengeluarkan sehingga 240,000 liter air sehari untuk kegunaan golongan terjejas.

Katanya, kualiti sumber air daripada loji berkenaan disahkan terjamin dan selamat untuk diminum oleh pihak Jabatan Kesihatan.

“Kemudahan ini sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban kira-kira 29,000 penduduk yang terlibat dan mereka boleh datang ke sini sehingga pukul 1 pagi untuk mendapatkan bekalan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih juga kepada Pejabat Perdana Menteri kerana menyumbangkan loji untuk manfaat penduduk yang terkesan dengan krisis air,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau loji rawatan air bergerak di Dataran Jeram Hulu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Presiden Ranhill Utilities Bhd. (Ranhill), Muhamad Faizal Aliar.

Di samping itu, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak 23 tangki air turut disediakan oleh pihak Ranhill dan Pemuda UMNO untuk penduduk setempat.

Krisis air 2.0 sejak 23 Ogos lalu dijangka berlarutan hingga 12 September ini berikutan paip dasar sungai Tangki Berangan yang patah. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN