PETALING JAYA: Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau digelar Sittah Annur ditahan polis pagi tadi.
Difahamkan, wanita berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya di Shah Alam, dekat sini.
Peniaga yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Semalam Abd. Jalil memaklumkan, polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Masitah Ab. Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.
Menurutnya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.
“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.- UTUSAN ONLINE