Kerajaan Pusat digesa bantu selesai peningkatan harga besi - Utusan Malaysia

Kerajaan Pusat digesa bantu selesai peningkatan harga besi

RODZIAH ismail (kanan) mendengar penjelasan mengenai spesifikasi salah sebuah Rumah Selangorku yang diberikan Pengurus Besar Wilayah Tengah IJM Land, Datuk Hoo Kim See (kiri) di Taman Alam Suria, Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Pusat diminta membantu menyelesaikan isu peningkatan mendadak harga besi pembinaan menjadi dilema kepada pemaju dan boleh menyebabkan peningkatan harga rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa mengawal harga besi memandangkan harga bahan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. 

“Jadi, saya minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bincang dengan kementerian berkaitan berhubung isu ini.

“Kami (kerajaan Selangor) juga ada terima keluhan berkenaan harga besi daripada beberapa syarikat pemaju yang terlibat projek Rumah Selangorku,” katanya selepas menyerahkan kunci kepada tujuh pembeli Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pada Januari lalu melaporkan harga besi tetulang dijangka naik setiap bulan sehingga mencecah RM2,890 setiap tan metrik.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), kenaikan harga besi tetulang serta bahan binaan berasaskan besi berlaku disebabkan beberapa faktor seperti, kenaikan harga bijih besi di seluruh dunia, kesukaran mendapatkan bahan mentah itu dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, kerajaan negeri tetap menegaskan syarikat pemaju projek Rumah Selangorku dikehendaki membina rumah mengikut harga yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu harga rumah dalam projek tersebut meningkat serta membebankan pembelinya. 

“Saya harap masalah ini segera diselesaikan untuk kebaikan pemaju serta pembeli sendiri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN