Kerajaan perlu kerjasama dengan UNHCR, vaksin golongan 'stateless' - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu kerjasama dengan UNHCR, vaksin golongan ‘stateless’

MD. JAIS SARDAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta untuk menyegerakan proses suntikan vaksinasi Covid-19 kepada golongan ‘stateless’, iaitu individu yang tidak mempunyai kewarganegaraan seperti pelarian yang berada di seluruh negara.

Bendahari Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata, golongan itu tidak seharusnya dipinggirkan daripada mengikuti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) jika mahu imuniti kelompok dicapai.

Katanya, antara golongan yang dimaksudkan adalah dalam kalangan komuniti Rohingya yang mempunyai jumlah besar, termasuklah di negeri ini.

“Johor mempunyai bilangan komuniti Rohingya yang cukup besar di mana kebanyakan mereka menetap atau tinggal dalam daerah Johor Bahru dan Kulai.

“Kerajaan tidak seharusnya hanya menumpu perhatian pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia atau pekerja sah sahaja tetapi juga kepada kelompok pelarian dan ‘stateless’ yang turut memerlukan vaksin.

“Tanpa kad pengenalan atau surat beranak yang sah, seseorang tidak boleh memperoleh talian telefon bimbit untuk mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan vaksinasi. Apa yang akan berlaku kepada orang-orang seperti ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Md. Jais, individu ‘stateless’ turut merangkumi mereka yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumentasi diri yang sah seperti surat beranak atau kad pengenalan.

Tambahnya, kebanyakan daripada masyarakat Rohingya adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan pada masa ini, komuniti tersebut melakukan pekerjaan rencam untuk mencari nafkah.

“Sekarang, setelah kes-kes di negeri ini meningkat, kerajaan seharusnya mempertimbangkan kerjasama dengan UNHCR agar mereka diberikan suntikan vaksin. Ini perlu kerana kita tidak mahu virus ini tersebar dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya