PETALING JAYA: Dasar dan strategi bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan isi rumah serta ekonomi terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah (B40) akan diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut dibuat menerusi pelbagai program sama ada jangka masa pendek dan panjang.
Katanya, kerajaan juga menambah baik pelbagai akses keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan di samping menggalakkan sektor keusahawanan serta akses pembiayaan kewangan.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan di bawah lapan pakej rangsangan ekonomi, antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) Fasa 1 yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion.
“Ini telah membantu 10.9 juta individu dan isi rumah. Selain itu, moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih tujuh juta peminjam dan diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isirumah.
“Di samping itu, RM300,000 diberikan kepada setiap ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan yang memanfaatkan lebih kurang 375,000 penerima. Kerajaan juga mengekalkan dan mewujudkan pekerjaan termasuk program subsidi upah yang telah membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih daripada 2.7 juta pekerjaan,” katanya dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai langkah yang diambil kerajaan dan penjelasan berkenaan pendapatan isi rumah kasar bulanan yang menurun sehingga 10.3 peratus.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi program jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutama isi rumah miskin dalam kalangan B40.
“Kerajaan menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“Kerajaan juga menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan dan meningkatkan perlindungan sosial,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE