Rakyat harap kerajaan beri perhatian golongan B40, M40

Kerajaan beri perhatian golongan B40, M40

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rakyat sangat berharap kepada kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membela nasib mereka selepas terkesan teruk berikutan pandemik Covid-19 serta cabaran ekonomi yang melanda negara.

Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, kerajaan dilihat telah memberi perhatian khususnya dalam membela golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Katanya, berapa faedah dan insentif akan diperkenalkan dan telah dilaksanakan kepada golongan B40 dan M40 itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka.

“Kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri adalah kerajaan yang diharapkan dan yang terbaik di dalam membantu rakyat.

“Sememangnya rakyat cukup berharap kepemimpinan kerajaan baharu ini untuk segera menangani pandemik Covid-19 selepas hampir dua tahun kita berdepan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, seramai 10 juta penerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang berkelayakan akan menerima bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebelum 10 September ini.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, sebanyak RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan bagi bayaran BKC dengan proses pengkreditan Fasa 1 bermula 6 hingga 10 September ini.

Kata Perdana Menteri, bayaran itu memanfaatkan seramai 10 juta penerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

Tambah Kamarul Azman, jaminan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk memperkasakan kawasan luar bandar dan jaringan internet sangat bertepatan dengan norma baharu pembelajaran secara dalam talian.

“Kawasan pedalaman sememangnya memerlukan penglibatan semua pihak untuk pembangunan. Sejujurnya ini adalah pentadbiran yang dimahukan oleh rakyat iaitu cekap dan pantas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Mudahan kerajaan baharu ini akan mencerminkan kerajaan terbaik dalam membela nasib rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN