Keputusan suntik vaksin pelajar Khamis ini - Khairy Jamaluddin

Keputusan suntik vaksin pelajar Khamis ini

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan pemberian suntikan vaksin Covid-19 terhadap pelajar sekolah akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat penyelarasan melibatkan antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pada Khamis ini.

Memetik laporan Bernama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu dan akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan, Samporna, Sabah, hari ini.

Beliau berkata, selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran Covid-19 dengan turut akan dibincangkan pada mesyuarat itu, namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan suntikan vaksin ke atas golongan berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 September ini.

Keutamaan diberikan kepada mereka yang komorbid dan pelajar sekolah sebelum diperluas kepada generasi lebih muda, bergantung pada bekalan vaksin.

Langkah itu disambut baik oleh pakar, namun mereka bimbang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh beberapa negeri untuk golongan yang telah lengkap dua dos vaksin akan menyebabkan kanak-kanak dan remaja terus terdedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN