Kementerian sumbang pelitup muka kepada 88,787 pelajar Tingkatan 6 

Kementerian sumbang pelitup muka kepada 88,787 pelajar Tingkatan 6 

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 88,787 pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara yang bakal memulakan persekolahan pada 3 Oktober ini akan menerima sumbangan pelitup muka daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menerusi Tenaga Nasional Berhad.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sumbangan dengan nilai sebanyak RM200,000 itu disasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang berteraskan konsep Keluarga Malaysia.

Katanya, ia susulan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah yang mewajibkan pemakaian pelitup muka sebagaimana digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga daripada golongan B40 dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Kerjasama para guru dan pengurusan sekolah sangat diharapkan agar dapat memantau dan memastikan semua pelajar sentiasa mematuhi SOP sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kesihatan pelajar terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ketika mengumumkan pengoperasian sekolah memaklumkan pemakaian pelitup muka untuk sesi persekolahan bagi negeri-negeri tertentu mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula 3 Oktober ini adalah wajib.

Namun, Radzi berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membekalkan topeng muka khusus bagi golongan murid kurang berkemampuan bagi membantu anak-anak yang ingin datang ke sekolah, tetapi tidak mampu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN