Kematian pemancing tiada kaitan dengan kapal korek - Utusan Malaysia

Kematian pemancing tiada kaitan dengan kapal korek

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam dan orang ramai membantu mengangkat mayat salah seorang pemancing yang ditemukan lemas berdekatan Jeti Mados Sungai Redan di Ulu Tiram, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menafikan kejadian membabitkan dua pemancing yang ditemukan lemas di Jeti Mados Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini kelmarin mempunyai kaitan dengan bunyi dentuman kuat dari sebuah kapal korek.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran antara bot dinaiki dua pemancing berkenaan dengan kapal korek terbabit.

Katanya, Balai Polis Ulu Tiram menerima maklumat daripada pengusaha kapal korek pasir di jeti itu memaklumkan terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bawah kapal berkenaan.

“Bunyi dentuman itu tidak ada kaitan dengan bot tersebut walaupun didapati ada sebuah bot awam berada berhampiran dengan sebuah kapal korek pasir.

“Siasatan mendapati bot tersebut terapung dalam sungai dalam keadaan baik namun dua pemancing lelaki berkenaan tidak kelihatan dalam bot itu dan disyaki telah jatuh dan lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar semalam melaporkan dua pemancing dikhuatiri lemas selepas hanya bot dinaiki sahaja yang ditemukan di Jeti Mados, Kampung Air Putih di sini.

Dua lelaki dilaporkan hilang ketika memancing di jeti tersebut dan ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.

Mangsa pertama, Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.10 pagi kira-kira lima kilometer (km) dari jeti.

Manakala rakannya pula, Amirrudin Abdul Malik, 53, dijumpai pada pukul 8.03 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Mohd. Sohaimi berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua mangsa mendapati keadaan fizikal sempurna tetapi keadaan pada badan mangsa telah mula kelihatan membengkak.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat  ditamatkan pada pukul 10.30 pagi dan mayat dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN