Keladi viral rezeki pesara tentera - Utusan Malaysia

Keladi viral rezeki pesara tentera

RAMLAH Siraj menanam lebih 500 pokok keladi daripada 100 jenis di halaman rumahnya di Padang Sanai, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seorang pesara tentera meraih pendapatan lumayan dengan mengusahakan tanaman keladi viral daripada pelbagai spesies di halaman rumahnya dekat Padang Sanai, Kuala Nerang di sini sejak tahun lepas.

Malah menurut Ramlah Siraj, 47, dia mampu meraih pendapatan sehingga lima angka setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas.

“Saya akui permintaan pokok keladi ini menjadi-jadi sejak PKP mungkin kerana orang menghabiskan banyak masa di rumah dan menghias rumah dengan pokok keladi ini menjadi hobi mereka,” katanya ketika ditemui di nurseri pokok keladinya, di sini semalam.

Ramlah yang mengusahakan tanaman keladi itu bersama suaminya, Mohd. Radzuan Yunan, 49, yang juga pesara tentera berkata, untuk mendalami teknik penanaman dan penjagaan pokok keladi itu mereka pernah mengambil kursus berkaitan di sebuah nurseri dekat Padang Besar, Perlis.

“Dua tahun lepas kami berdua ambil kursus ini. Untuk mengusahakan tanaman keladi memang memerlukan ilmu walaupun saya suka berkebun di rumah sejak dulu lagi,” katanya.

Wanita ini memberitahu, terdapat lebih 500 pokok keladi daripada 100 spesies di nurserinya itu termasuk yang tular dan menjadi buruan ketika ini.

“Pemburu keladi viral sukakan yang paling sukar ditemui dan paling unik dari segi bentuk daun dan warnanya.

“Contoh yang jadi rebutan sekarang ialah Florida Beauty, Monstera, Alocasia, Calocasia Pharaoh Mask atau Topeng Firaun,” katanya.

Ramlah juga mengakui bahawa dia mampu menjual pokok keladi daripada spesies tersebut daripada harga RM1,000 sehingga RM7,000.

“Florida Beauty mempunyai bentuk helaian daun dan warna yang unik. Pokok ini dijual pada harga RM1,700 bagi sehelai daunnya.

“Begitu juga dengan Topeng Firaun yang mempunyai bentuk dan warna daun yang unik,” jelasnya.

Katanya, daripada ilmu yang dipelajari itu mereka turut menanam pokok keladi yang dikacuk untuk mendapatkan keunikannya.

“Tanaman ini ada yang saya peroleh daripada nurseri lain dan ada juga yang kami tanam sendiri,” katanya.

Menurutnya selain mencantikkan hiasan dalaman rumah, tanaman keladi juga memberi pengudaraan dalam rumah yang baik.

“Saya menjual tanaman ini melalui ejen-ejen saya sahaja memudahkan saya menguruskan tanaman di nurseri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.