SEREMBAN: Keadaan di pusat-pusat pelancongan di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson, dekat sini masih terkawal walaupun berlaku kehadiran ramai pengunjung selepas beberapa kelonggaran diberikan bagi aktiviti sosial dan ekonomi..
Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bagaimanapun poliscbersama pihak berkuasa tempatan (PBT) terus menjalankan pemantauan di lokasi tumpuan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pengunjung.
“Setakat ini berdasarkan maklumat yang saya dapat daripada polis Port Dickson dan PBT, keadaaan masih terkawal. Bagaimanapun nasihat masih perlu diberikan kepada pengunjung supaya tidak terlalu ghiarah, SOP kena jaga dan jangan terlalu bersesak-sesak serta arahan penggunaan pelitup muka mesti dipatuhi.
“Kami akan bersama PBT untuk memantau, kita tidak mahu Negeri Sembilan kes sudah menurun tetapi nanti disebabkan pembukaan pusat-pusat pelancongan ini menerusi beberapa kelonggaran kepada aktiviti ekonomi dan sosial, kes meningkat. Saya berharap supaya semua masyarakat sama-sama menjaga peraturan, SOP dan sebagainya bagi mengekang Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada guru dan murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan Kampung Semarak, Rahang di pejabatnya di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menerima kad penghargaan kepada barisan hadapan yang disiapkan oleh murid-murid tabika perpaduan berkenaan.
“Ini pertama kali sejak jadi Ketua Polis Negeri Sembilan malah sepanjang hidup saya menerima kunjungan daripada pihak tabika. Saya terima dengan hati terbuka dan berterima kasih atas ucapan penghargaan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, guru Tabika Perpaduan Kampung Semarak, Rusni Shamsudin, 55, berkata, penyerahan kad penghargaan tersebut adalah sebahagian program Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.
“Kami diminta membuat kad ucapan penghargaan kepada barisan hadapan dan pilih kepada mana-mana pasukan barisan hadapan yang kami mahu serahkan.
“Ada dalam kalangan 56 buah tabika perpaduan di daerah ini yang memilih menyerahkan kad ucapan kepada pasukan bomba, tentera dan petugas kesihatan dan kami memilih memberikannya kepada pasukan polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE