KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Saint Kitts and Nevis ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di perairan Johor Timur pada pukul 3.36 petang.
Katanya pemeriksaan awal mendapati kapal yang dikendalikan tujuh kru warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.
“Oleh itu kapal tangki beserta semua kru telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, melalui penguatkuasaan Op Jangkar Haram yang dilaksanakan dilihat berjaya membantu menurunkan aktiviti berlabuh secara haram di kawasan Tompok Utara yang dahulunya menjadi kawasan panas bagi kapal-kapal dagang.
Namun katanya, Maritim Malaysia Negeri Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara. – UTUSAN ONLINE










