MERSING: Syurga memancing. Itu gambaran kaki-kaki pancing daripada setiap pelosok negara yang sanggup merentas daerah atau negeri semata-mata untuk mendaratkan pelbagai spesies ikan termasuk layaran di perairan Mersing.
Lubuk ikan yang terkenal dalam kalangan pemancing itu sering kali dikunjungi mereka pada waktu tertentu, namun situasi itu kini berubah sama sekali apabila tiada lagi suasana ‘menarik’ ikan bersaiz besar ke atas bot ekoran sekatan tertentu setelah negara dilanda Covid-19.
Situasi itu juga turut memberi kesan kepada pengusaha bot memancing di Kampung Tenglu, di sini yang tidak lagi mampu berterusan menanggung kerugian sehingga terpaksa menjual tiga daripada enam bot yang dimiliki demi meneruskan hidup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Gelora Sport Fishing, Alpian Anas, 52, yang telah mengusahakan sukan memancing sebagai pendapatan keluarga sejak 10 tahun lalu bersama enam orang kru berkata, kini botnya hanya berbaki tiga buah.

Katanya, pendapatannya benar-benar terjejas apabila tahun ini masuk tahun kedua dia tidak dapat beroperasi sepenuhnya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Biasanya sebulan saya akan dapat kira-kira 30 trip yang kebanyakan orang Singapura selain mereka yang datang dari luar Mersing kerana memiliki hobi memancing. Kesannya amat teruk kerana pada tahun lalu sahaja saya terpaksa batalkan lebih 200 trip memancing yang telah ditempah.
“Manakala, tahun ini walaupun PKP dilonggarkan awal tahun lalu dapatlah beroperasi kira-kira sebulan lebih sahaja sebelum ditutup semula. Sebab itu saya terpaksa menjual tiga bot, dua buah pada tahun lepas, sebuah lagi tahun ini kerana tidak tahan tanggung kos,” katanya ketika ditemui di sini.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, untuk sewaan kos termasuklah parkir bot sahaja sudah mencecah lebih RM1,000 sebulan.
Katanya, dengan keadaan tiada keuntungan di samping gaji pokok pekerja yang masih dibayar sejak tahun lalu lagi dia kini benar-benar ‘terduduk’.
Jelasnya, sebagai majikan dia mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan pekerjanya yang mempunyai tanggungan anak kecil yang memerlukan wang ringgit untuk kelangsungan hidup.
“Sejak tahun lepas PKP saya masih bayar gaji pokok pekerja saya. Mereka ibarat macam keluarga bagi saya. Jika sebelum ini gaji mereka adalah mengikut trip selain gaji pokok namun dalam keadaan sekarang saya juga tiada keuntungan maka itu sahaja yang dapat saya bantu.
“Namun, demi membantu mereka saya menjadikan bot yang ada untuk mencadat sotong dan daripada hasil mencadat itu mereka dapat gaji,” katanya yang menghabiskan RM15,000 untuk membeli kelengkapan termasuk lampu-lampu yang digunakan untuk mencadat sotong.
Jelasnya, pada ketika ini dia terpaksa mengutamakan keperluan yang penting lebih-lebih lagi periuk nasi pekerjanya, meskipun terpaksa membiarkan cukai dan insurans kenderaan sendiri tidak diperbaharui.
Dalam pada itu, Alpian bersyukur kerana kedai menjual peralatan memancing yang juga diusahakannya telah dibenarkan beroperasi meskipun kedatangan pelanggan amat rendah. – UTUSAN










