JPA bawa cadangan ke MKN wajibkan penjawat awam ambil vaksin

JPA bawa cadangan ke MKN wajibkan penjawat awam ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin Covid-19.

JPA menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, cadangan berkenaan adalah antara beberapa pilihan dan tindakan untuk diputuskan MKN.

Bagaimanapun, menurutnya, cadangan itu dikecualikan bagi mereka yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

“JPA berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

“Sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin ini telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok mereka yang belum mengambil vaksin adalah kecil.

“Namun, perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis-premis kerajaan,” katanya.

Jelasnya lagi, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. 

Justeru, katanya, semua penjawat awam perlulah mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN