PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memutuskan untuk terus menyambung pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, ini termasuk pelantikan Datuk Seri Tiong King Seng sebagai Duta Khas ke China.
“Datuk Seri Richard Riot juga kekal sebagai Duta Khas ke Asia Timur,” katanya di sini hari ini.
Presiden Pas itu dilantik memegang jawatan berkenaan semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April tahun lalu.
Abdul Hadi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Mesir adalah bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004 disenarai sebagai antara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan.
King Sing pula yang merupakan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu memegang jawatan tersebut bertaraf menteri sejak dilantik 20 April tahun lalu.
Beliau berperanan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Ahli Parlimen Bintulu itu pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur pada tahun 2014 hingga 2018.
Sementara itu, Richard Riot yang merupakan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu dilantik jawatan itu pada 16 Mei 2020. – UTUSAN ONLINE