Jangan serbu PPV, tunggu jadual vaksinasi  - Utusan Malaysia

 Jangan serbu PPV, tunggu jadual vaksinasi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA :Jangan serbu Pusat Pemberian Vaksin (PPV), tunggu jadual janji temu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Itu tegas Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kepada ibu bapa kanak-kanak dan remaja yang berhasrat untuk membawa anak mereka ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Nasihat itu dikeluarkan susulan ada segelintir ibu bapa yang menyerbu PPV hari ini mendapatkan suntikan vaksin bagi anak mereka.

Noor Azmi memaklumkan, pemberian vaksin secara jumpa terus atau walk-in hanya dibenarkan kepada remaja yang tidak bersekolah, remaja sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dan remaja yang ‘home schooling’ (belajar di rumah).

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu bergegas ke PPV bersama anak untuk vaksinasi kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pendidikan Daerah terlebih awal.

“Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga.

“Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata, bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian pula, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera di mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa bekalan vaksin untuk remaja adalah mencukupi dan kesemua remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diberi vaksinasi sama ada di PPV atau sekolah.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM, Dr. Saidatul Norbaya Buang berkata, agihan vaksin kepada kanak-kanak dan remaja dibahagikan kepada tiga kaedah iaitu vaksinasi berjadual, janji temu melalui MySejahtera dan walk-in.

Menurutnya, vaksinasi berjadual akan membabitkan kanak-kanak dan remaja di sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian dan sekolah antarabangsa.

Saidatul Norbaya berkata, pihaknya juga akan menggunakan pelbagai pendekatan bagi memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak dan remaja yang menetap di pedalaman terutama Orang Asli.

“Ia akan menggunakan pendekatan sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan dewasa sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN