Jadikan pandemik Covid-19 sebagai pengajaran, perlu saling bersatu hati - Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Jadikan pandemik Covid-19 sebagai pengajaran, perlu saling bersatu hati – Tuanku Muhriz

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sewaktu bertitah menyempurnakan perasmian Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan di Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penularan pandemik Covid-19 perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya masing-masing sentiasa bersedia dan saling bersatu hati dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, sehubungan itu, semua wakil rakyat perlulah memberikan perhatian kepada usaha membantu rakyat dan membangunkan ekonomi negeri.

“Beta amat berharap supaya ahli Dewan menggunakan peluang dan ruang untuk memberi perhatian kepada usaha  membantu rakyat dan  membangunkan ekonomi negeri yang terjejas. 

“Beta menyeru semua pihak agar bermuhasabah diri dan menjalankan amanah yang  dipertanggungjawabkan supaya matlamat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan seterusnya menjadi negeri maju terlaksana. 

“Kesefahaman dan kerjasama antara satu sama lain dapat memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan efektif,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri, Seremban hari ini.

Tuanku Muhriz dalam pada itu, menzahirkan penghargaan baginda kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan baginda atas kesungguhan yang telah ditunjukkan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan negeri ini sentiasa berada di landasan yang tepat. 

“Permasalahan dan keperluan rakyat terus menjadi agenda utama dalam setiap tindakan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat tetap terpelihara.

“Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan berhemah atas prinsip mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.

“Berkhidmatlah dengan ikhlas demi negeri yang kita kasihi, agar matlamat kita untuk mencapai kejayaan dapat direalisasikan,” titah baginda lagi yang turut menzahirkan sukacita dengan kejayaan Negeri Sembilan yang memasuki Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.

Sementara itu, baginda bertitah lagi, kerajaan negeri perlu memberikan perhatian serius terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup umat Islam di negeri ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut, menurut Tuanku Muhriz, penstrukturan semula Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah dilaksanakan pada 1 Januari lepas melibatkan penyelarasan fungsi Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (Pemansuhan) 2021. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN