SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Majlis Dakwah Negara (MDN) menyambut baik kesepakatan yang diumumkan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), di Parlimen semalam.
Dalam kenyataan bersama Pengerusi Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Ketua Dewan Politik MDN, Dr. Mohammad Fauzi Zakaria, mereka menyifatkan butiran memorandum tersebut agak terbuka dan inklusif.
“Namun memorandum itu akan hanya bermakna jika perlaksanaannya menepati aspirasi rakyat. Ia tidak harus menjadi memorandum bersifat kosmetik tetapi perlu komitmen yang kuat untuk masa depan negara dan pembelaan nasib rakyat.
“Pendekatan ini kami terima baik jika ia bermaksud ke arah islah politik yang sangat dinantikan oleh rakyat terutama dalam keadaan negara menghadapi situasi krisis kesihatan dan ekonomi yang kronik,” katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, memorandum tersebut tidak mempunyai ikatan undang-undang tetapi tertegak secara moral untuk dipatuhi mengikut klausa-klausa yang dipersetujui.
Jelasnya lagi, ia menguji sejauh mana kejujuran politik dijaga oleh kedua- dua pihak.
“Sejak menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bertentangan dengan demokrasi, rakyat menjadi mangsa kepada manipulasi perebutan kuasa yang berterusan oleh percaturan antara aktor politik elit negara. Percaturan politik itu dilihat penuh dengan muslihat politik yang sangat menjijikkan di kaca mata rakyat.
“Dalam masa yang sama rakyat jelata terutama golongan bawahan paling terkesan sepanjang hampir 18 bulan penularan Covid-19 sehingga hari ini. Natijahnya ialah situasi di luar jangkaan menjadi realiti yang mengerikan dan sangat tragis iaitu angka kematian Covid19 mencecah lebih 20,000 nyawa dan penularan kumulatif mendekati dua juta kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE