{VIDEO} Ibu menangis Latif raih emas, bapa nazar botak kepala - Utusan Malaysia

{VIDEO} Ibu menangis Latif raih emas, bapa nazar botak kepala

SALMAH YATIM (kanan) bersama Romly Mat (dua dari kanan) serta ahli keluarga mereka menyaksikan Abdul Latif dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik 2020 di Taman Emas, Beseri, Padang, Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ibu kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly menangis kegembiraan selepas anaknya mempertahan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, hari ini.

Sebelum itu, Salmah Yatim, 64, yang menyaksikan aksi anaknya itu bersama ahli keluarga lain di Taman Emas, Beseri, di sini diselebungi perasaan cemas apabila Latif mengalami kecederaan ketika lompatan kelima sehingga terpaksa dibawa menaiki kerusi roda.

Salmah berkata, dia sangat berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu yang menyumbangkan emas kepada negara.

“Saya gembira kerana dia dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia apabila sekali lagi menghadiahkan pingat emas kepada negara.

“Bagaimanapun, saya sedih dan risau dengan keadaan Latif apabila dia terjatuh semasa membuat lompatan kelima. Saya berharap tidak ada kecederaan serius. Lagipun sebelum ini, dia ada juga cedera semasa bertanding dan ketika latihan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

VIDEO OLEH: UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI

Anak jati Kampung Paya Jati, Bukit Keteri berusia 24 tahun itu mempertahan pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) apabila percubaan kedua dengan lompatan pada jarak 7.45 meter itu gagal diatasi 11 peserta lain.

Sementara itu, bapanya, Romly Mat, 70, berkata, dia cukup berbangga kerana anaknya berjaya mempertahan pingat emas selepas kejayaan pertama diraih pada Sukan Paralimpik di Rio, Brazil pada 2016.

Penoreh getah itu juga sudah bernazar ingin membotakkan kepalanya jika anak itu memenangi pingat emas.

“Selepas ini saya akan cukur kepala sebab dah bernazar. Dulu pun saya buat perkara yang sama juga. Memang kami rindu sangat dekat Latif sebab kali terakhir berjumpa adalah pada Disember tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN